Doa dan Amalan Untuk Ibu Bapa Anak Menghadapi Peperiksaan

As-salam dan hai ^^

Kita sambung cerita kanggaroo nanti eaa 😆. Minggu depan anak-anak dah nak UPSR kan. Kejap jer dah setahun anak saya, Risya ambik UPSR. Masa tu sepanjang minggu peperiksaan memang saya akan berada di surau sekolah dari pagi sampailah habis waktu periksa. Sekolah memang galakkan parents yang free datang untuk bagi moral support kepada anak-anak. 

Pagi tu kami sama-sama dengan ustaz solat hajat dan baca yassin. Ini saya kongsikan doa yang dibaca selepas solat hajat tu.

DOA IBU BAPA UNTUK ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Ikhlaskan hati anak anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Tidak lama lagi, anak anak kami akan menduduki peperiksaan UPSR Ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Peliharalah kesihatan anak anak kami di hari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak anak kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka. Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat ku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka Berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah.

Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha mengkabulkan doa doa kami ini.

Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin. 

Selepas tu ibu bapa bolehlah sambung dengan amalan lain sepanjang anak tengah jawab exam tu. 


Sambil baca bayangkan anak dapat jawab dengan lancar, betul, tak gopoh dan dihindarkan daripada melakukan kecuaian. Dah habis baca semua tapi anak tak habis periksa lagi saya ulang-ulang jer baca surah Al-Insyirah tu. 

Sebenarnya, boleh jer kat mana-mana nak buat kat tempat kerja ke rumah ke cuma saya lebih suka bertunggu tangga di surau sekolah sebab lebih fokus. Kalau kat rumah karang fikiran asyik melayang teringat kain baju belum sidailah nak masaklah tengok henponlah ada jerrr gangguan 😆. Time rehat saya dan ibu-ibu lain (kaum bapa jarang ada hehe) akan pergi ke kantin untuk jumpa anak-anak. Bukan untuk bagi tekanan tapi moral support.

Alhamdulillah berkat usaha guru-guru yang tak kenal penat, usaha Risya sendiri yang bertungkus lumus, doa semua orang dan rezeki dari Allah swt juga Risya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 6A UPSR. Sebagai ibu mestilah saya happy sangat sampai menitik air mata masa cikgu serah result tu. 

Tapi kalau anak-anak dah usaha keras tapi rezeki tak menyebelahi mereka janganlah pulak kita rasa anak tu seorang yang gagal. Masih jauh lagi perjalanan hidup mereka. Ada juga anak-anak yang kelebihannya dalam bidang lain bukan akademik. Yang penting mereka mesti bersungguh-sungguh dan berusaha tak kisahlah dalam bidang apa pun.

Alhamdulillah Risya sekarang sedang belajar peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, JB antara sekolah berasrama penuh yang berprestij di Malaysia.

Tata titi tutu 💖.

No comments