Bajet dan Itinerari Ringkas Percutian Musim Sejuk Ke Melbourne 2018

As-salam dan hai ^^

Alhamdulillah masuk hari ni dah seminggu selamat pulang ke tanahair yang tercinta. Terbang dari Tullamarine Airport balik ke Malaysia tepat-tepat masa malam merdeka. Tanda semangat sayangi Malaysiaku tu kuatlah hihi.


Ada yang mintak saya kongsikan bajet dan itinerari ke Melbourne ni. Percutian kami ni semuanya rancang sendiri dan tak ambil mana-mana pakej travel agent. Nak kata percutian ni berbajet rendah ala-ala backpackers tu tidaklah juga tapi cubalah untuk rendahkan bajet seboleh mungkin heheh.

Alhamdulillah lega sangat semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Perbelanjaan yang bakal saya sharekan di bawah ni adalah untuk 2 orang dewasa + 2 kanak-kanak. Australia gunakan matawang AUD which is duit diaorang lebih kurang 3 kali ganda lebih dari RM.

1. TIKET

Kami book tiket setahun lebih awal masa AirAsia buat promosi. Dengan jadual cuti sekolah 2018 tak keluar lagi kami agak-agak jelah nak booking tarikh. Tapi salah target hanya 4 hari je terkena cuti sekolah. Baki lagi 5 hari terpaksa pontengkan huhu. Maafkan kami cikgu. Tiket untuk 4 orang pergi-balik total RM4260 all in (insurans + check in luggage + meals). Tiket anak perempuan saya, Risya dikira dewasa sebab dia dah umur 13 tahun -__-.

2. VISA

Australia negara yang perlukan visa. Visa saya dan anak-anak total RM90. Senang jer lepas alhamdulillah. Kami buat dengan agen Sham Travel di Taman U, Skudai. Suami saya jer yang tak lepas.

Boleh BACA SINI macam mana suami saya apply semula visa dan lulus >> Apa Nak Buat Apabila Permohonan Visa Australia Ditolak

Masa tunggu jawapan suami ada try apply thru website ETA tapi gagal jugak. Gagal pun tetap kad kredit kena tolak AUD20. Alhamdulillah 2 minggu lepas emel ke ETA permohonan visa suami diluluskan kalau tak hancurlah harapan nak beramah mesra dengan kanggaroo. Kali ni dah tak kena caj apa-apa lagi mungkin diaorang ambil kira yang AUD20 tadi kot.

3. PAKAIAN

Kalau dah namanya nak pergi bercuti musim sejuk haruslah kena spent untuk pakaian yang sesuai contoh macam down jacket, thermal wear, gloves dan wool stokin.

Down jacket saya dan juga anak-anak kami beli bundle jer kat kedai bundle preloved yang terletak di Klang. Tak sampai RM100 pun harganya setiap pasang. Thermal wear serendah RM10 pun saya beli di sana. Tapi ikut nasiblah saiz tu tak semua ada. Saya ada jugak beli extra thermal wear dekat sport direct.

Boleh search fb atau ig bundle preloved : https://www.instagram.com/bundle_winter_outdoor/ untuk dapatkan down jacket dengan harga serendah RM80/sepasang.

Di Melbourne saya ada jugak shopping baju tebal jenis knitwear dekat kedai Savers sebabnya baju yang saya bawak macam tak cukup tebal jer walaupun dah pakai berlapis-lapis. Sejuk tu macam menikam sampai ke tulang. Urmm lemak tak cukup tebal agaknya. Lemak pipi sahaja yang tebal bukan main -_-.

Saya beli baju tebal tu sebelum pergi ke Mt Buller risau tak tahan sejuk masa main salji. Murahlah jugak dalam AUD10 - AUD18. Saya beli 2 helai satu untuk saya dan sehelai lagi untuk Risya. Ada beli topi tutup telinga jugak untuk anak lelaki saya, Zikry berharga AUD4.

4. PENGANGKUTAN

Oleh sebab kami tinggal di JB jadi haruslah ada extra perbelanjaan untuk pengangkutan ke KLIA2. Kami naik bas yoyo dari terminal Tun Aminah terus ke KLIA2. Tiket pergi balik untuk 4 orang (Tun Aminah - KLIA2 - Tun Aminah) dalam RM392.

Di Australia boleh gunakan lesen Malaysia jadi kami decide untuk drive sendiri sahaja lagipun kami banyak nak travel jauh-jauh keluar dari city. Banyak pilihan boleh survey nak sewa kereta tapi kami pilih apex ni sebab diaorang ada buat promosi masa tu AUD49/day. Lepas tu lagi lama sewa makin murah.

Kami pilih SUV Outlander jadi harganya mahal sikit. Saja sewa kereta besar sikit sebab luggage kami boleh tahan besar jugak haha. Takut tak muat kalau sewa kereta kecik. Total sewa 8 hari beserta GPS dan full insurans dalam AUD500. GPS mintak orang apex setkan siap-siap untuk avoid toll. Untuk petrol kami spent dalam AUD200 lebih kurang untuk 8 hari.


Kami booking kereta sewa di sini  : https://www.apexrentals.com.au/

Hanya sehari jer masa di sana yang kami tak guna kereta iaitu masa berjalan ke CBD. Memang tak digalakkan bawa kereta kalau ke situ sebab susah parking dan kalau ada pun mahal. Jadi kami gunakan public transport iaitu tram. Boleh download apps PTV untuk rancang perjalanan.

5. PENGINAPAN

Kami menginap di 3 tempat iaitu :

Tanamekar Homestay, Coburg. Sewa bilik sahaja (2 buah katil queen) dan dalam rumah ada dapur dan lengkap dengan peralatan memasak. Untuk 5 hari AUD425.

Summer's Rest Unit, Port Campbell. Kami menginap satu malam sahaja semasa pengembaraan ke Great Ocean Road. Booking di agoda harga sewanya AUD148. Sebuah katil queen dan sebuah katil 2 tingkat. Lengkap dengan peralatan memasak juga. Cukup selesalah buat kami anak-beranak. 

High Country Holiday Park, Mansfield. Balik dari Mt Buller kami sewa di sini satu malam. Booking dekat hotel.com harganya dalam AUD149. Penginapan konsep kabin. Sama juga ada sebuah katil queen, sebuah katil 2 tingkat dan lengkap dengan peralatan memasak. Seronok di sini macam main pondok-pondok hihi.

6. MAKAN MINUM

Dari Malaysia kami bawa Brahims macam kari ayam, kurma daging, kari daging, sambal ikan bilis dan ayam masak merah. Brahims beli kat Mydin murah sikit kot rasanya. Dalam RM7 sekotak kalau tak silap.

Cuma isi dia sikitlah. Yelah suggestion sekotak pun untuk 1-2 servings sahaja. Biasa kami masak 2 kotak untuk 4 orang makan rasa macam tak cukup kenyang jer hahah.

Rasanya lepas ni kalau travel lagi kami akan masak 3 kotak untuk 4 orang makan. Selain tu bawa stok maggi, tuna dalam tin dan kopi 3 in 1 jugak. Milo tak berani bawa sebab takut tak lepas kastam Australia.

Dekat Melbourne kami selalu shopping makanan macam beras, roti, biskut, jem, air mineral dan buah di Coles atau Woolworths supermarket. Rasanya total kami belanja di kedua-dua supermarket ni cecah AUD100 juga untuk 8 hari.

Bawa beg shopping sendiri sebab plastik di Coles kena bayar 😄.

Sesekali barulah kami makan dekat restoran sebab agak mahal jugak. Sepinggan nasi goreng dah AUD13. Biasanya kami makan kongsi-kongsi jer sebab portionnya besar. 

7. SOUVENIR

Boleh beli fridge magnet, keychain, tshirt dan lain-lain di Queen Victoria Market. Murah-murahlah jugak. Saya tak ingat berapa saya spent dekat sini. Ada jugak borong coklat Cadbury dekat Coles masa diaorang buat promosi untuk dijadikan souvenir.

8. OPTUS SIM CARD

Haaa penting ni. Kami beli masa di airport AUD25 untuk 25Gb. Rupanya banyak sangat tak habis guna pun haha. Sangat berjasa benda ni.

Dengan adanya sim card saya tetap dapat uruskan bisnes online saya walaupun sedang bercuti. Dapat buat sale dekat RM2000 jugaklah dalam 8 hari tu hihi.

Selain tu kegunaannya dah pastilah untuk berwhatsapp, upload pic kat fesbuk dan tengok google maps. Anak-anak boleh layan youtube bila boring dalam kereta. 

9. CREDIT CARD & INTERNATIONAL ADAPTER

Wajib bawak! Nak sewa kereta sewa peralatan pegi Mt Buller semua nak kena pakai credit card. International adapter kalau takde pitamlah nak charge henfon dan kamera lagu mana huhu.

10. ITINERARI RINGKAS

Day 1 : Bathing Boxes, Brighton Beach dan St Kilda Pier 

Drive dari Coburg dalam 40 minit. Dua-dua tempat ni bersebelahan. Mula-mula pergi tengok Bathing Boxes (rumah kalerful) dulu lepas tu baru ke St Kilda Pier untuk tengok penguin secara percuma.

Parking cari tempat yang free. Kat sana parking dia ada papan tanda 1/2P lah 2P lah 3P lah. Takut nak parking sembarangan sia-sia kena saman dalam AUD nanti huhu. Dah balik sini baru tahu 1/2, 2, 3 tu bermakna boleh parking percuma 30 minit/2 jam/3 jam pertama. Cisss.

Breakfast : Dah makan dalam flight.
Lunch : Masak Brahims jer kat rumah. 
Dinner : Makan nasi goreng di Taste of Thai untuk 2 pinggan AUD27.

Day 2 : Phillip Island

Drive dari Coburg dalam 2 jam. Kami pergi 3 tempat sahaja di sini iaitu :

Panny/s Chocolate Factory 
Bayaran masuk AUD50 untuk pakej famili (2 dewasa + 2 kanak-kanak). 

Wildlife Park
Bayaran masuk AUD50 pakej famili. Dapat sekali makanan untuk bagi kanggaroo.
  
The Nobbies
Tengok sunset. Masuk percuma sahaja.

Ada tempat lain lagi kalau nak explore macam Churchill Island Heritage Farm, A Maze n Things dan Penguin Parade.

Breakfast : Bawak bekal sandwic buat sendiri dan air kopi dalam termos.
Lunch : Makan di Chocolate Factory AUD30 untuk 2 pinggan nasi + 4 mangkuk kecik lauk kari ayam/lamb + 2 mangkuk sayur.
Dinner : Balik homestay makan maggi heheh.

Day 3 : Melbourne CBD

Macam yang saya cerita tadi untuk berjalan di sini lebih baik gunakan tram. Nak naik tram kena ada MYKI card. Boleh beli di 7eleven. Untuk dewasa harga kad AUD6 + AUD9 untuk nilai topup. Kanak-kanak punya harga kad AUD3 + AUD5 untuk nilai topup. Jadi total kami spent AUD46 untuk perbelanjaan naik tram santak round CBD dari pagi sampai malam huhu.

Sediakan bajet jugak untuk beli souvenir di Queen Victoria Market dan perfume murah di Chemist Warehouse. Saya beli sebotol perfume Tommy Girl EDT 100 ml dengan harga AUD30 (harga asal AUD75) dan sebotol cologne brand sama AUD20 (harga asal AUD55). Kalau convert 2 botol perfume tu RM150 lebih kurang. Mahal ke murah tak tahulah tak pernah survey masa kat Malaysia 😅.

Breakfast : Beli 2 ketul boreks (Spinach Cheese dan Spicy Lamb). Lupa pulak berapa harga huhu.
Kudapan : Makan Churros tepi State Library. Lupa jugak harga huhu.
Lunch : Makan di Blok M Express. Kami order 2 set nasik dengan lauk ayam balado (untuk anak-  anak kami ambik ayam bakar) + 2 mangkuk kecik sup + 2 biji telur mata + 2 air kotak dan tambah 1 pinggan extra nasik. Total AUD36.
Dinner : Beli kebab area Coburg 2 ketul AUD14.

Kami juga ada spent sikit untuk laundry hari ni. Cuci pakai 2 mesin sebab baju banyak rasanya dalam AUD18 kot. Untuk drying murah sikit AUD1 untuk 6 minit.

Kedai laundry ni di area Coburg jer.

Day 4 : Great Ocean Road

Bertolak dalam pukul 9.00 am. Jangkaan perjalanan sampai ke Port Campbell dalam 5 jam sebab nak singgah banyak tempat. Kena set GPS ke Torquay dulu jangan terus Port Campbell nanti tak dapat lalu coastal route (jalan tepi pantai) yang menjanjikan scenery yang sungguh cantik. Balik ke city semula nanti bolehlah pilih inland route (lalu kampung pekan pemandangan cantik juga).

Banyak tempat/look out boleh singgah sepanjang GOR ni. Parking di tempat yang disediakan di tepi jalan dan bergambarlah sepuasnya. Kami singgah di :

  • Pekan Anglesea untuk breakfast tepi tasik
  • Split Point Light House di Aireys Inlet
  • Guvyos Beach
  • Memorial Arch (pintu masuk GOR)
  • Mariners Lookout, Apollo Bay tapi takde apa sangat sini
  • Gibson Steps
  • 12 Apostles (tengok sunset/sunrise di sini cantik)
  • Loch Ard George

Spent AUD148 untuk penginapan di Summer's Rest Unit, Port Campbell. Rugi kalau tak bermalam di Port Campbell sebab pagi esoknya boleh sambung tengok tempat-tempat cantik waktu matahari naik pulak.

Breakfast : Bawak bekal roti dan air kopi.
Lunch : Makan biskut-biskut jer dalam kereta sebab nak kejar masa sebelum sunset.
Dinner : Masak nasik dan lauk Brahims.

Day 5 : Great Ocean Road

Pagi kami pergi lagi sekali ke Gibson Steps dan 12 Apostles sebab semalam petang hujan renyai dan angin terlalu kuat tak boleh nak fokus tengok pemandangan. Lepas tu sambung pergi ke: 

  • Island Archway
  • The Razorback
  • The Arch
  • London Bridge
  • The Grotto
  • Bay of Island

Balik Coburg ikut jalan Ballarat cadangnya nak singgah Gold Museum dan Sovereign Hill. Tapi sebab kami banyak habiskan masa di GOR pagi tadi jadi sampai sini dah pukul 3.00 pm. Kedua-dua tempat ni tutup sekitar pukul 5.00 pm camtu.

Kalau sekadar nak masuk Gold Museum tu sempat jer tapi nak masuk Sovereign Hill memang tak berbaloilah. Bayar mahal tapi rugi dapat spent time kejap jer dalam tu. Aktiviti pun tak banyak dapat join. Jadi kami cancel plan dan terus menuju ke DFO Essendon. Shopping sikit barang smiggle untuk anak-anak sebagai kenangan dalam AUD54.90.

Breakfast : Masak nasik dan lauk Brahims sebelum checkout.
Lunch : Makan biskut-biskut jer dalam kereta.
Dinner : Makan nasik goreng di Taste of Thai 3 pinggan AUD40.50. Tak habis sebab dah kata portionnya besar. Mintak restoran bungkus kena caj AUD0.50 untuk bekas cisss.

Day 6 : Puffing Billy Train

Drive ke stesen Belgrave dalam sejam lebih.  Pukul 8.30 am dah bertolak sebab nak kejar keretapi wap paling awal iaitu 10.30 am. Mulanya kami cadang nak naik train dari Flinders Station (CBD) ke Belgrave tapi rasa rugi pulak sebab nak kena beli tiket dah makan kos lagi. Alang-alang dah ada kereta baik drive jer.

Rujuk website https://puffingbilly.com.au/ untuk rancang nak naik puffing billy tarikh bila, pukul berapa dan dari mana sampai mana. Jadi takdelah kita buang masa tunggu keretapi atau tak sempat beli tiket. Di website tu pun ada guide tempat kita boleh parking free. Parking ni limited especially kalau time weekend atau school break. Mujur masa kami pergi ni bukan time weekend (hari Selasa).


Kami parking di Belgrave CFA Car Park berhadapan dengan stesen Puffing Billy tu.

Kami ambil tiket Belgrave - Lakeside pakej famili return AUD114. Perjalanan dalam 1 jam. Berhenti di Lakeside dalam 1 jam jugak sempat berpiknik makan bekal roti dan beli 2 hot chocolate + 1 mocha AUD12.50.

Breakfast : Makan di homestay apa-apa yang ada. 
Lunch : Makan biskut-biskut jer dalam kereta.
Dinner : Beli kebab besar 2 ketul di Melbourne Kebab Station. Lupa berapa harga. Rasanya dalam AUD26 kot.

Day 7 : Mt Buller

Drive dari Coburg ke Mansfield (pekan terakhir sebelum naik gunung) dalam 2 jam lebih. Sewa peralatan dekat sini. Kami sewa mana yang tak ada sahaja.

Macam winter jacket yang kami pakai dah ok untuk main salji jadi tak payah sewa. Suami saya dari baju, seluar dan kasut dia dah ada sendiri punya. Jadi untuk pakaian kami hanya sewa seluar waterproof sahaja untuk saya dan anak-anak nak elak basah dan sejuk. Kasut sewa hanya untuk saya seorang sebab yang lain dah pakai waterproof hiking boots.

Waterproof pants dewasa x1 = AUD23
Waterproof pants kanak-kanak x2 = AUD34
Snowboots x1 = AUD15
Toboggan x2 = AUD20

Kami sewa pakaian dan peralatan untuk main salji di kedai ini.

Entrance fee masuk Mt Buller AUD50. Booking online dan print siap-siap lebih murah. Kami tumpang print dekat penginapan yang bakal disewa pada malamnya (High Country Holiday Park). Kami tak booking dari Malaysia sebab takut ada perubahan jadual bergantung pada cuaca.

Nak naik Mt Buller penting tengok weather forecast. Alhamdulillah tarikh yang kami pilih ni matahari bersinar elok tak hujan dan salji pun bagus belum cair. Snowchain pun tak payah pasang pada tayar. Kalau kena pasang tambah kos lagi. Boleh download apps Mt Buller dekat henfon untuk rujukan.

Selain main toboggan, kami naik chairlift untuk tengok pemandangan sekitar Mt Buller. Harga AUD20/person. Kami 4 orang total AUD80. Kanak-kanak pun rate sama. Malam tu kami menginap di High Country Holiday Park, Mansfield spent dalam AUD149.

Breakfast : Makan biskut-biskut jer dalam kereta. 
Lunch : Makan roti-roti jer sebelum main salji dan beli hot chocolate secawan lupa berapa harga AUD6 kot.
Dinner : Masak nasik dan Brahims dekat penginapan.

Day 8 : Hari Balik

Bertolak dari Mansfield balik semula ke Coburg. Cuaca tak berapa elok. Hujan. Jadi kami cancel plan ke CBD. Kami pergi ke DFO Essendon semula jalan-jalan dan shopping sikit. Lepas tu terus balik Coburg sebab tak tau nak ke mana dah.

Flight kami 12.30 pm. Pulang kereta dalam pukul 7.00 pm. Untuk isi masa lapang kami habiskan masa lepak-lepak dan tumpang solat di library Coburg.

Breakfast : Masak nasik dan Brahims sebelum checkout dari High Country.
Lunch : Makan grilled chicken + chips + nasik + seafood salad dalam AUD29 tak silap.
Minum Petang : Beli biskut di kedai Arab + minum hot chocolate dan chai latte (errk tak sedap rasa kayu manis).
Dinner : Makan dalam flight.

Rasanya tu je lah kot. Kira-kira anggaran kami spent dalam RM10K - RM11K jugaklah untuk percutian selama 8 hari ke Melbourne untuk 4 orang tak termasuk makan minum, shopping dan souvenir. In shaa allah nanti kalau ada kelapangan saya share tentang setiap tempat yang kami pergi.

Tata titi tutu 💖.


No comments